Wednesday, May 21, 2008

Hakikat Cinta Hakiki...


Oh, saya tak tahu bagaimana nak mulakan penulisan tajuk yang saya pilih ini. Entah kenapa bayang-bayang persoalan cinta yang hadir. Mungkin kerana saya ini umpama musafir kelana dalam sebuah kembara mencari erti cinta yang sebenarnya. Yang selalu orang sebut-sebut sebagai cinta hakiki tu. Mungkin tanpa sedar kalian juga dalam rombongan itu. Cuba renung sekejap.

Nak takrifkan cinta secara tepat saya tak tahu. Sebab saya tak pernah lagi belajar tentang cinta secara khusus. Tapi sebagai insan yang normal, kita mesti dapat rasakan kewujudan satu naluri dalam diri yang kita pasti bahawa itulah cinta.

Cinta itu paduan antara kasih dan sayang. Ia fitrah insani anugerah Ilahi. Lantaran cinta timbul rasa ingin mengasihi dan dikasihi, ingin menyayangi dan disayangi.

Tapi dari mana datangnya cinta?

Sebagai seorang mukmin, kita meyakini bahawa Allah yang mencipta seluruh alam ini. Jadi cinta itu tak terkecuali. Ia adalah ciptaan Allah. Allah yang menjadikan cinta. Jadi Dialah sumber cinta yang sebenarnya. Ya, cinta hakiki yang selalu disebut-sebut tu.

Allah Pencipta cinta? Ya, itu pasti. Tapi Allah sumber cinta, apa buktinya?

Bukti? Kenapa saya lontarkan soalan ni. Huhu, susah nak jawab. Jika tak tepat pembuktian saya akan dipersalahkan. Tapi tak pe, saya cuba. Kalau salah kawan-kawan betulkan ye.

Kita cerita dulu.

"Ain, makanlah buah ni."

Saya suakan buah tembikai susu yang siap saya kupas, potong dan atur atas piring. Sepanjang hidup saya, tembikai susu di sini yang paling manis dan lemak saya rasakan. Uii, sedap kawan-kawan. Kalah tembikai susu di Malaysia.

"Tak nak ayu. Makanlah. Ain tak makan buah tu."

Sebenarnya saya tau dah si Ain ni tak makan buah tu. Saje saya pelawa, kot-kot terbuka hatinya nak merasa. Ye la, sape tak pelik. Dalam dunia ni ada juga orang yang tak makan Honey Dew yang menjadi kegemaran Sinyu dalam karton Doremon. Bila ditanya kenapa?

"Entahlah. Ain tak rasa nak."

Erm, apalagi nak dikata. Suka, gemar, minat, cinta itu tak boleh dipaksa-paksa.

Ya, cinta tak boleh dipaksa. Seribu alasan sekalipun tidak boleh memaksa kita menyintai sesuatu dan seribu alasan juga tidak bisa menghalang kita untuk menyintai sesuatu.

Cinta itu datang tanpa dipinta. Cinta itu hadir tanpa dipaksa. Nah, itulah bukti cinta itu sumbernya Allah. Allah Yang Maha Esa.

Bila Dia menghendaki cinta jatuh ke dalam hati kita terhadap sesuatu, sesiapapun dan apa jua sekalipun tidak akan mampu menghalang.

Begitu juga jika Dia tidak mahu ada cinta antara kita dan sesuatu, sesiapapun malah apa jua sekalipun tidak bisa memaksa cinta untuk hadir.

Erm, macam mana? Sudah terbuktikah Allah itu sumber cinta? Saya pasti kalian sendiri pernah merasa. Cuba renung-renung sejenak.

Cinta itu hidayah dan anugerah-Nya. Dialah sumber segala cinta.

Ada orang yang Allah kurniakan cinta kepada dunia. Ada orang yang Allah kurniakan cinta kepada akhirat.

Jadi, jika diri kita ini pencinta dunia dan ingin berubah menjadi pencinta akhirat; mohonlah kepada Allah kerana Dia sumber segala cinta.

Ada orang Allah kurniakan cinta kepada maksiat. Ada orang yang Allah kurniakan cinta kepada amal kebajikan.

Jadi jika kita ini pencinta maksiat dan ingin berubah kepada pencinta amal kebajikan; mintalah kepada Allah kerana Dialah sumber segala cinta.

Ada orang yang Allah kurniakan cinta kepada ilmu. Ada orang yang Allah kurniakan cinta kepada perjuangan.

Jadi jika kita bukan pencinta ilmu dan perjuangan dan kepingin menuju ke arah itu, maka mohonlah kepada Allah. Dialah sumber segala cinta.

Jika ternyata kita sudah siap menjadi seorang pencinta akhirat, amal kebajikan, ilmu dan perjuangan, maka bersyukurlah kerana itu semua terbit dari sumber segala cinta iaitu ALLAH.

Bila sudah meyakini Allah sumber cinta, kita akan kembali kepada-Nya sebelum mencintai sesuatu. Saat sedang mencintai pula kita sering pulang kepada-Nya meluahkan rasa syukur atas kurniaan itu. Nah, di situlah nilai cinta sebenarnya. Meletakkan cinta pada Dia. Menyerahkan cinta kepada-Nya.

Ternyata, "Dialah sumber cinta yang hakiki." "Dialah cinta yang hakiki." "Dialah Yang Hakiki."

Jika perhati perenggan di atas degan hati-hati, kita akan temui hakikat cinta yang kita cari-cari.

Selamat merenung.

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru...


Setiap kali berdoa, guru adalah antara insan yang tidak pernah saya lupakan. Selepas mak dan ayah, merekalah golongan yang paling saya hormati dan kasihi. Tiada imbalan yang mampu saya tawarkan sebagai balasan terhadap jasa dan pengorbanan mereka melainkan secangkir doa yang tak putus saya panjatkan.

Bahkan diri saya yang ada kini meniti di atas doa para guru.

"Alhamdulillah, dah sampai Mesir anak murid cikgu ni." Gembira dan syukur terpancar jelas pada kalam Cikgu Noraini, ketika saya menghubunginya.

"Cikgu, doakan ayu berjaya."

"Ya, cikgu selalu doakan kejayaan ayu. Dan cikgu berdoa semoga Allah pertemukan kita lagi."

Hu hu. Terharu dengan harapan cikgu. InsyaAllah, pulang nanti kita pasti bertemu.

Cikgu Noraini guru
saya semasa di sekolah rendah 12 tahun dahulu. Sejak berpisah, baru sekali kami bertemu itupun secara kebetulan. Tapi kerana saya tak pernah lupakan nombor telefon cikgu semenjak saya menghafalnya dan mendialnya berulang kali, mungkin kerana itu cikgu mengingati saya sampai sekarang.

Seorang guru bukan mengharapkan balasan material daripada muridnya. Cukup sekadar kita mengingati dalam erti kata menghubungi, bertanya khabar sudah bisa membuatkan hati seorang guru riang gembira. Itulah manis akhlak yang dinantikan oleh seorang pendidik.

Begitulah yang saya alami dalam hidup ini. Di sini juga sama halnya. Syeikh cukup gembira bila saya menghubunginya.

"Raihanah, bila nak balik Kaherah? Bila nak datang rumah Syeikh?"

"InsyaAllah bulan 7 nanti, Syeikh"

"Kenapa bulan 7? Kenapa tak bulan 6?"

"Imtihan habis bulan 7."

"Ooo... Tak pe. Bulan 7 nanti datang rumah Syeikh kita buat makan-makan."

Syeikh sangat gembira bukan kerana saya anak muridnya yang bersuara paling lunak ketika membaca al-Quran, hanya kerana saya rajin menelifon Syeikh ketika berada jauh di Iskandariah.

Sebenarnya ramai lagi guru-guru yang gagal saya hubungi kerana kelemahan saya sendiri. Harap-harap itu bukan bereti saya melupakan mereka.

Ada sebilangannya yang telah kembari ke pangkuan Allah. Moga Allah merahmati roh-roh mereka atas pengorbanan yang dicurahkan.

Siapalah diri ini tanpa guru. Aku hanya insan kerdil yang bertatih atas doa dan tunjuk ajarmu. Oh guru...

Asas...

Lihat bangunan tinggi
megah gagah berdiri
dibina dari asas
asasnya itu tapak
tapaknya di bawah
bawah lawannya atas.
Jadi bangunan megah itu
dibina dari asas
bukan dari atas.
Bila asasnya kukuh
bangunan jadi teguh.
Bila asasnya rapuh
bangunan akan runtuh.

Lìhat pula
pohon tegak perkasa
tumbuhnya dari asas
asas itu akarnya
akarnya di bawah
bawah lawannya atas.
Lantas pohon perkasa itu
tumbuh dari asas
bukan dari atas.
Bila asasnya kejap
pohon jadi mantap.
Bila asasnya goyang
pohon pasti tumbang.

Begitu perihalnya kehidupan.
Fikir-fikirkanlah...

Mood Imtihan...

Seminggu terakhir ni terasa mahu memerah sahaja di rumah. Selama tidak ada urusan di luar, saya lebih suka mengelakkan diri daripada merayau tak tentu hala. Bimbang hati dan fikiran turut ikut tak menentu.

Dalam fatrah imtihan ni, saya cuba hadkan aktiviti yang dirasakan kurang keutamaannya. Rasa canggung dan kekok juga, ditambah lagi rasa sunyi yang berkunjung saban waktu tanpa jemu. Inilah ujian dan cabaran yang terpaksa saya lalui saat ini. Namun, bak kata Ustaz Hairul Nizam, ujian adalah peluang buat kita. Jadi saya cuba isi kesunyian ini dengan muhasabah diri dan membaca al-Quran di samping memberi tumpuan kepada imtihan yang bakal diduduki.

Jadi di kesempatan ini, saya hulurkan kemaafan dan ucapan terima kasih kepada yang sudi berkunjung ke blog budak hingusan ni. Terima kasih atas sokongan kawan-kawan terutama dari Kelab GB.

Buat yang memberi komentar, yang menggelarkan dirinya penyokong sekularisme atau mungkin tak salah saya namakan pejuang sekularisme, terima kasih atas buah fikiran yang anda lontarkan. Mungkin pahit manis buah fikiran itu menjana otak saya meneroka setiap sudut untuk menghasilkan jawapan yang terbaik bagi persoalan yang bermain di benak. Sebenarnya saya belum pernah lagi melebelkan diri ini sebagai pejuang Islam. Namun title yang diberikan oleh pejuang sekularisme itu saya sambut baik sebagai doa darinya.

Dan untuk kalian juga ingatan saya dalam doa ini. Mudah-mudahan Allah memperkenankan kita sebagai hamba yang diberikan hidayah, inayah dan maghfirah.

Yang baik itu dari Allah, yang kurang itu datang dari kelemahan diri ini. Mohon didoakan kejayaan dalam segenap lapangan hidup. Terima kasih semua :)

Monday, May 12, 2008

Taqwa Jalan Menuju Kebahagiaan dan Kejayaan...

Firman Allah taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.

Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah Mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat." [Ali Imran:102-105].

Dalam ayat di atas, terdapat perintah Allah taala terhadap hamba-hamba-Nya supaya bertakwa. Seolah-olah Dia telah menghimpunkan segala kebaikan di dalamnya. Supaya dengan ketakwaan tersebut orang-orang beriman bisa mencapai kejayaan dan bisa merebut segala kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan sebagai rahmat Allah taala kepada mereka.

Takwa merupakan pesanan Allah taala kepada umat-umat terdahulu dan terkemudian. Firman-Nya:

"Kami telah Memerintahkan kepada orang yang diberikan kitab suci sebelum kamu dan (juga) kepadamu agar bertakwa kepada Allah." [An-Nisa':131]

Maka tidak ada kebaikan pada masa kini dan akan datang, yang bersifat nyata atau tersembunyi melainkan takwa menjadi jalan penghubungnya dan wasilah yang menyampaikan kita kepadanya.

Dan tiadak ada sebarang kejahatan pada masa kini dan akan datang, yang bersifat nyata atau tersembunyi melainkan takwalah perisai yang menepisnya dan benteng yang menyelamatkan daripada segala kemudaratan.

Betapa banyak di dalam al-Quran ayat-ayat yang mengaitkan ketakwaan dengan kebaikan dan kebahagiaan. Di antaranya kebersamaan dan pemeliharaan-Nya kepada kita yang bersumber dari rasa takwa sebagaimana firman-Nya:

"Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertakwa." [An-Nisa':194].

Orang yang bertakwa juga akan dikurniakan ilmu dari sisi-Nya (ilmu Ladunni) sebagaimana firman-Nya:

"Dan bertakwalah kepada Allah, Allah akan Memberikan pengajaran kepadamu." [al-Baqarah:282].

Selain itu, rasa takwa memberikan kita keputusan yang tepat saat berdepan dengan perkara yang syubhah iaitu ketika berada di antara dua persimpangan halal dan haram dan ketika dihurung kemusykilan. Bahkan rasa takwa juga bertindak sebagai penghapus kesalahan dan dosa sebagaimana firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan Memberika furqan (kemampuan membezakan yang hak dan batil) kepadamu dan Menghapus segala kesalahanmu dan Mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki kurnia yang besar." [al-Anfal:29].

Ketakwaan juga bisa menyelamatkan kita daripada nyalaan api neraka sebagaimana firman-Nya:

"Dan Allah Menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka. Mereka tidak disentuh oleh azab dan tidak bersedih hati." [az-Zumar:61].

Ketakwaan adalah jalan keluar saat jiwa dihimpit kesusahan. Darinya terbit rezki dan kurnia dari arah yang tidak disangka-sangka. Ia menjanjikan kemudahan dan pahala yang besar seperti firman Allah taala:

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia Memberi rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." [at-Thalaq:2].

"Dan barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia Menjadikan kemudahan baginya dalam urusannya." [at-Thalaq:4].

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan Menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan Melipatgandakan pahala baginya." [at-Thalaq:5].

Begitu juga jaminan syurga bagi yang bertakwa. Firman Allah taala:

"Itulah syurga yang akan Kami Wariskan kepada hamba-hamba kami yang selalu bertakwa." [Maryam:63].

Bahkan ketakwaanlah satu-satunya ukuran kemuliaan di dunia dan akhirat sebagaimana firman-Nya:

"Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa." [al-Hujurat:13].

Ternyata dijadikan kemuliaan itu di sisi-Nya dengan sebab ketakwaan; bukan kerana keturunan, bukan kerana harta, bukan juga kerana paras atau apa-apa selainya.

Dan betapa banyak janji Allah dan Rasul kepada orang-orang yang bertakwa daripada kebaikan yang melimpah-ruah, kebahagiaan yang hakiki, darjat yang tinggi dan kejayaan yang abadi.

Maka bertepatanlah yang demikian dengan bait syair ini:

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah maka di situlah tempat yang #
diiring kepadanya peniaga yang untung."

Wallahu a'lam.

*Jadikan al-Quran cermin diri bukan senjata yang membedil sesama sendiri. Moga hidayah Allah sentiasa bersama kita.

Sunday, May 11, 2008

Permaidani...

Rimbun dan redup kasih-Mu
Kau tempatku bepayung
di manakah lg dapat ku rebahkan
rasa gundah ini...

Nun Kau teguh di sana
Pengasih dan Penyayang
pun ku masih terleka
meneguk ihsan-Mu
walau ku sedari...

Oh nyamannya bila dipelukan rindu-Mu
mengimbaulah sentosa...

Bentangkan ku permaidani
dari baldu berwarna putih
moga tak ku terasakan
dugaan yang ku galas ini
kepada-Mu titianku
hijrahkanlah diri ini...

Kebenaran Murtad Wajar Dipertikaikan...

Saya ingin tegaskan di sini bahawa perbuatan keluar daripada Islam setelah menganutnya adalah haram dan berdosa besar. Dalam syariah Islam, mereka yang mengambil keputusan untuk murtad akan diberi tempoh untuk bertaubat dan dipujuk menarik balik keputusannya. Dalam tempoh itu juga, Qadhi atau hakim akan menghantar wakil untuk menyelesaikan krisis akidah yg dialami mungkin kerana kekeliruan atau kekangan hidup yang memaksa. Itu bukti toleransi Islam dalam hal ini. Tetapi seandainya usah menemui jalan buntu dan individu tersebut berdegil dengan keputusannya, maka syariat menghukumnya dibunuh lantaran kesan yang sangat membahayakan umat Islam. Ini ketegasan Islam dalam hududnya.

Saya tidak akan segan silu menyatakan ketegasan ini kerana ia nyata tuntas didokong hujjah al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama'. Namun perlu difahami bahawa Malaysia bukan pengamal undang-undang hudud. Jadi ia tak perlu dipersoalkan kerana memang tidak akan dilaksanakan terhadap Siti Fatimah.

Saya tidak pula menuding kesalahan ini semata-mata kepada Siti Fatimah. Bahkan mengajak semua bermuhasabah dengan ketewasan ini.

Kes ini membuktikan tiada undang-undang yang tegas yang boleh menghalang seseorang memilih dan meninggalkan agama ini sesuka hati. Tuntutan terhadap undang-undang ini telah disuarakan bertahun lamanya tetapi kerana sikap melengah-lengah maka terjadilah apa yang tidak diingini selama ini. Secara tidak langsung kebenaran murtad ini telah meluluskan tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IRC) yang telah dikemukakan suatu masa dulu. Tak gitu???

Bagi saya kita semua harus bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Sebagaimana komen yang diberikan oleh si penyokong sekularisme kepada tulisan saya yang di bawah. Kenapa selama ini kita tidak memberikan sokongan moral kepada Siti Fatimah, kenapa haknya terhadap zakat kita tidak berikan? Sampai bertahun-tahun kita abaikan sehingga akhirnya dia memilih untuk meninggalkan Islam kerana kezaliman kita itu. Tetapi benarkah ini puncanya?

Sepanjang saya mengikuti kes ini tak jumpa pula hal zakat diperkatakan. Atau mungkin saya ketinggalan saya harap si penyokong sekularisme boleh tunjukkan di mana kenyataan zakat sebagai punca beliau murtad.

Yang kita dapati pengakuan Siti Fatimah sendiri bahawa dia memeluk Islam bukan kerana keyakinannya tetapi kerana keinginan mengahwini lelaki muslim Iran. Akhirnya bila dia ditinggalkan maka riwayat Islamnya turut kunjung padam.

Jadi tidak adil saya menyalahkan MAIPP atau Hakim yang mulia kerana sudah jelas tiada keikhlasan di pihak Siti Fatimah sejak awal lagi. Ditambah faktor sikap tidak bertanggung jawab lelaki Iran itu. Bila awal perkara sudah kelam kabut maka tak hairanlah akhirnya jadi kucar lanar.

Yang pasti keputusan membenarkan murtad ini wajar dipertikaikan. Dan sekarang bukan masanya lagi untuk menuduh siapa juara kesalahan ini. Tuntutan kepada undang-undang yang memelihara ketuanan Islam perlu diperhebatkan sebelum muncul Siti Fatimah kedua dan seterusnya. Dan peluang untuk memperbetulkan kesilapan ini perlu diteroka sebelum wujud kesilapan seterusnya.

Soal siapa dahulu yang akan dicampakkan ke neraka saya tak tahu jawapannya. Mungkin saya dulu atau Siti Fatimah dulu atau si penyokong sekularisme dulu atau kita sama-sama dicampakkan serentak. Redha sahajalah...

Friday, May 9, 2008

MAIPP Hilang Akal...?

Hari ini dalam sejarah:

SITI FATIMAH 'DIBENARKAN' MURTAD-KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH P.PINANG ITU ADALAH KES PERTAMA DI NEGARA INI.

Keratan berita:

"Ketua hakim Syarie Perlis, Osman Ibrahim membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad). Alasannya, beliau mendapati Siti Fatimah tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998."

Ya Rabbi... Pedihnya hati ini.

Sungguh kecewa, Majlis Agama Islam kini bukan lagi pembela agama malah perosak. Alasan lepas tangan yang diberikan di atas tu kawan-kawan. Ye la, dah si Siti Fatimah tu nak murtad sangat, bagi je lah.. Tak payah susah-susah nak tahan dia.. Banyak kerja pula jadinya.. Agaknya inilah yang difikirkan si hakim.

Kawan-kawan, kalian tahu tak bahawa dengan keputusan di atas MAIPP telah mengubah satu prinsip agama Islam? Mana ada dalam hukum Islam kebenaran murtad. Seseorang yang murtad akan diberi tempoh taubat, jika enggan Islam menetapkan ia dibunuh. Tidak pernah wujud hukum yang membenarkan seseorang murtad baik siapapun perantaranya hatta Hakim yang paling bijak di dunia.

Ternyata MAIPP telah menggubal agama Islam. Ternyata MAIPP telah menafikan salah satu Maqosid Syar'iyah (matlamat Syariah Islam) iaitu memelihara agama. Ternyata MAIPP sudah mencipta hukum baru bagi agama Islam. Ternyata terang-terang MAIPP melanggar perintah Allah, Rasul dan Ijma' Ulama'. Majlis perosak agama. Ah, sungguh kecewa.

Siti Fatimah.. Dia dengan alasannya lantara kejahilan yang diakibatkan oleh kecuaian kita juga. Tetapi yg ingin dipersoalkan di sini, di mana ketegasan MAIPP? Dengan alasan lepas tangan di atas, kalian jawablah di depan Allah nanti.

Biarkanlah.. Ini baru kes pertama. Sikit masa lagi, kita tunggu kes kedua, ketiga dan seterusnya.

Buat kawan-kawan yang membaca, yang berkongsi kecewa saya. Saya ingatkan di sini. Islam ini agama milik Allah. Telah diatur sebaiknya lalu disampaikan kepada hamba-hamba-Nya melalui Rasulullah. Soal akidah dalam Islam adalah perkara yang putus tidak boleh sama sekali diubah. Ini adalah untuk memelihara agama daripada dipermainkan. Tapi hari ni... Aduh, pedihnya hati kita bila yang diharapkan membenteng agama ini sendiri yang merobohkannya.

Oleh itu, jangan leka lagi. Pandang sekeliling kita kalau ada saudara-saudara baru yang perlu dibimbing jangan di abaikan. Mungkin kita sama-sama menanggung akibat kecuaian ini. Ya Allah, ampunkan kami!

Wednesday, May 7, 2008

Luangkan Masamu...

Luangkan masamu untuk berfikir,
kerana berfikir itu sumber kekuatan...

Luangkan masamu untuk membaca,
kerana membaca itu sumber kebijaksanaan...

Luangkan masamu untuk solat dan berdoa,
kerana solat dan doa itu sumber ketenangan...

[kalam hikmah yang terpampang di meja belajar kawan saya. Kita kongsikan bersama :)]

Ya Allah,
bantulah kami untuk melaksanakan semua amal kami hanya kerana-Mu!

Memblog Jangan Meng'goblog'...

Semalam saya sempat singgah ke cybercafe menjenguk blog saya sendiri. Tertarik dengan sapaan kawan-kawan di shoutbox. Terima kasih saya ucapkan, ia menjadi satu suntikan untuk saya terus memperbaiki diri.

Sebenarnya saya bukan orang yang aktiv di alam maya ini. Cuma saya ada satu tabiat. Tabiat suka menyelami fikiran orang lain. Kalau dulu semasa di Malaysia, ayah jadi teman sembang saya. Bermula isu keluarga, politik, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Dari ayah saya belajar menanam minat berfikir. Tapi setakat itu sahajalah maklumat yang saya ada kerana dulunya saya ni malas membaca.

Bila berjauhan dengan ayah, saya fikir saya perlu mencari alternatif lain untuk mengisi minat saya. Antara blog yang selalu saya lawati di alam cyber ni Blog Roslan sms, Faisal Tehrani (agak lama tidak diupdate), Merah Tinta (MSO), dan kadang-kadang saya melepak di blog Alhusseyn dan Penarik Beca. Kadang-kadang perasan juga idea dan prinsip para bloger di atas ada yang bertentangan, dan itu membolehkan saya membuat penilaian. Jika saya masih keliru saya akan bertanya kepada ayah dan saya juga mempunyai seorang guru sebagai tempat rujukan.

Secara tidak langsung sebenarnya saya belajar 'membaca' daripda mereka. Dan saya tidak mahu tergopoh-gopoh menonjolkan diri sebelum jiwa saya belum benar-benar sebati dengan bidang yang saya minati. Biarlah saya bermula dengan watak remaja yang terpinga-pinga sebegini kerana sesungguhnya memang banyak lagi perkara yang saya tidak tahu.

Buat kawan-kawan, teruskan memblog. Pasti di teratak kalian ada sesuatu yang boleh saya manfaatkan dan ada perkara yang boleh saya pelajari. Saya pasti. Kerana Nabi s.a.w sudah berpesan, orang-orang mukmin itu ibarat binaan yang saling mengukuh dan melengkapkan. Dan hati-hati mereka bila bertemu saling berbagi biarpun tidak pernah diungkapkan dengan kata-kata.

Syukran saya ucapkan kepada yang memberi komen di shoutbox Akhi GB, Yb_pmn, Bee dan yang lain-lain. Semoga Allah merahmati kalian.

Thursday, May 1, 2008

Ar-Rahman Ar-Rahim...

Sejak semalam saya terfikir kenapa nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang diletakkan di dalam Bismillah yang kita sebut tiap-tiap kali ingin memulakan sesuatu kerja? Dan kenapa dua nama ini yang Allah muatkan di dalam surah al-Fatehah iaitu surah yang diulang-ulang oleh oleh orang beriman sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam?

Kenapa bukan nama-nama lain seperti al-Quddus, al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Muntaqim yang melambangkan kebesaran dan kehebatan yang bisa membuatkan hati-hati manusia ketakutan?

Ya, memang benar itu hak dan pilihan Allah. Terpulang kepada-Nya untuk meletakkan nama apa sahaja. Tapi di sana pasti ada rahsia dan hikmahnya. Sesungguhnya sesuatu yang Allah aturkan itu bukan sia-sia. Ya, pasti ada hikmahnya!

Ada kaitan antara dua nama ini dengan tabiat dan fitrah manusia. Kalau tidak, masakan kita disyariatkan mengulang-ngulangnya saban hari siang dan malam.

Oh, sampai sekarang saya belum ketemu jawapan...

Kalau kawan-kawan ada terfikirkan hikmahnya, mohon dikongsikan dalam ruang komen...

Terima kasih...