Wednesday, April 30, 2008

Seleksi Perjuangan Nabi Ibrahim A.S...

Semalam hampir beberapa jam saya luangkan masa meronda blog kawan-kawan. Macam-macam ragamlah yang saya perhatikan. Afeqx dengan email-emailnya (kalau tak cukup email saya boleh sumbangkan sikit), Anastasia dengan gambar-gambar hiasan dalamannya, Cybernetic dengan gaya fikir tersendiri, Keristamingsari mengimbau lembaran sejarah (orang Melaka agaknya), Salsa bercerita tentang negara Indonesia, Kak Nur Raudhah tak kurang mantap dengan santapan rohaninya, erm satu lagi sapa punya site yang hitam, anggun, menawan tu? Oh, saya terlupa. Dan ramai lagi blog kawan-kawan yang masing-masing mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Mudah-mudahan kita saling memberikan sokongan dalam hal kebaikan. Dan saya pasti kalian semua seperti saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pengendali Kelab GB iaitu saudara Greenboc. Mari kita sama-sama doakan semoga Allah merahmati beliau dan mempermudahkan segala urusannya.

Saya sebenarnya sangat tertarik dengan artikel yang dipaparkan oleh Akhie Bee dalam blognya iaitu kisah seorang srikandi Islam Siti Hajar. Bahkan sebelum membaca kisah itu lagi sememangnya saya sangat mengagumi keperibadian Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran.

Kisah Baginda meninggalkan Siti Hajar di tengah-tengah ketandusan padang pasir itu hanya salah satu episod daripada siri-siri perjuangan dan pengorban yang Baginda pertaruhkan. Bahkan jika kita amati dan hayati sirah kehidupan Baginda yang penuh pancaroba kita akan menemui satu nilai yang tidak ada sesuatu yang lebih bernilai dari itu iaitu "kemuncak pengabdian diri dan ketaatan hanya kepada Allah!".

Kalian pasti ingat kisah Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Ismail. Perintah itu disahut tanpa banyak soal sedangkan pada zahirnya bertentangan dengan kewarasan akal kita. Titah dijunjung dengan penuh rasa kehambaan. Akhirnya seekor Kibas menggantikan tempat Ismail. Nyata Allah sengaja ingin menguji dan kerana pengorbanan setulus hati itu sejarah mereka dikenang sehingga hari ini. Subhanallah!

Sebelum itu Nabi Ibrahim berjuang menegakkan kalimah Tauhid di kalangan kaumnya. Cabaran yang dihadapi sungguh hebat. Masakan tidak, ayahnya sendiri terlibat dalam kekufuran dan penyembahan berhala. Maka bertungkus lumus Nabi Ibrahim meluruskan pegangan kaumnya ke arah Yang Esa. Sehingga membawa kepada kebencian kaumnya yang bernekad membakar Nabi Ibrahim kerana merasa terancam dengan keberaniannya menegakkan kebenaran. Sehingga tiada siapa lagi yang mampu menyelamatkan Baginda saat itu melainkan Allah!

Lantara kekebalan jiwa yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim, Allah mengurniakannya isteri setabah Siti Hajar. Lantaran pengabdian yang tiada tolok bandingnya Allah mengurniakan Baginda sekeping 'hati yang bersih'.

Ya, itulah yang kita cari. Itulah modal saat bertemu Allah nanti. Kerana Allah sudah berfirman dengan kalam-Nya yang benar belaka:

"(Yaitu) pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih." [as-Syu'ara':88,89]

Ya Allah, kurniakanlah kami hati sesuci embun pagi!!!

Monday, April 28, 2008

Kerana Sebatang Sudu...

Di hening pagi yang damai
tenang ceria dan bahagia
tiba-tiba hatiku tersentak
sudu plastikku yang jernih itu
patah!!!
Angkara siapakah ini???
Oh Tuhan, sakitnya hatiku!!!
Oh Tuhan, mengapa Engkau uji
diriku begini???

Kerana sebatang sudu
aku jadi tak menentu
lidahku kelu
hatiku terkedu
otakku beku
jantungku menderu.

Kerana sebatang sudu
aku jadi haru biru
fikiranku celaru
jiwaku buntu.

Kerana sebatang sudu
aku jadi lupa
untuk berbaik sangka
lidahku melulu
"Oh, satu-satu dia nak buat kat aku."

Kerana sebatang sudu
aku jadi alpa
hakikat segalanya milik Dia
Dia Yang Maha Esa
yang ada bagiku
hanya pinjaman.

Sedarlah aku
besarnya sebatang sudu itu di hatiku
lantas aku terleka
dunia ini dan seluruh isinya
tidak sampai nilai
sehelai sayap nyamuk
di sisi-Nya.

Kerana kesabaranku
atas kepatahan sebatang sudu
moga Allah memberi hidayah bagiku
kerana itu lebih berharga buatku
daripada sebatang sudu
yang hanya berkerja
mengacau kopiku.

Ya Allah
ampunkan dosaku
yang membiarkan sebatang sudu
bertakhta di hatiku...


Sajak merapu ilhamku buat diriku.. Hu hu..

Saturday, April 26, 2008

Ya Allah, Aku Nak Kawin...

Imtihan semakin hampir. Saya kini menjadi penghitung. Menghitung hari, menghitung buku-buku yang belum dibaca, menghitung surah-surah yang belum dihafal dan apa-apa sahajalah yang boleh dihitung.

Sem ini imtihan terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama imtihan tahriri (peperiksaan bertulis) dan yang kedua imtihan syafawi atau ujian lisan. Subjek yang akan saya duduki pula ada tujuh iaitu Al-Quran, Hadis Ahkam, Usul Fiqh, Fiqh Syafie, Fiqh Muqoron, Qodoya Fiqhiyyah Mu'asoroh dan Qo'ah Bahas.

Semasa belajar di Malaysia dulu saya boleh meletakkan target bagi setiap kertas peperiksaan dan saya tidak pernah gagal kerana para pensyarah sudah memberikan sukatan peperiksaan lebih awal bahkan ada yang terus memberikan jawapan hanya tinggal dihafal sahaja.

Jauh beza dengan keadaan di sini. Oleh kerana para doktor tidak mengajukan sukatan imtihan, kami terpaksa membaca seluruh isi kitab. Lantaran itu, saya tidak berani meletakkan target kepada usaha saya. Bila ditanya oleh kawan-kawan, saya hanya mampu menjawab: "InsyaAllah, mudah-mudahan berjaya."

Hal ini jugalah yang diberitahu oleh kawan-kawan ketika saya baru sampai di bumi Anbiya' ini. Pada awalnya saya kurang percaya kerana bagi saya kalau tidak ada target macam mana nak bina keyakinan diri?

Kebenarannya saya rasa bila saya mengalaminya sendiri. Ketika menempuh imtihan qobul (ujian yg menentukan kita layak atau tidak utk naik ke tahun empat), saya yakin markah saya sekurang-kurangnya melepasi tahap lulus iaitu 50 markah. Tetapi sangkaan saya meleset. Saya hanya mampu mengumpul 46 markah dan dalam lingkungan 200 orang yang mengambil ujian, hanya seorang sahaja yang lulus. Sungguh bumi ini bumi bertuah, bumi tarbiah!

Berhari-hari saya menenangkan hati menelan hakikat ini dalam kepayahan. Saat redha dan pasrah saya sudah berputik dan mekar di hati tiba-tiba markah lulus diturunkan ke tahap 40 markah! Oh, Allah seolah-olah meng'acah' saya. Tahulah saya bahawa jiwa ini mudah gelabah bila diuji. Saya tidak yakin dengan janji-Nya.

Itulah pengalaman pertama saya menghadapi kegagalan. Mungkinkah sejarah akan berulang? Allah jua yang lebih Tahu.

Berbalik kepada topik asal.

Suatu hari saya dan Siti menziarahi sahabat kami Ukhti Nafisah dan Ustaz Shahrizan. Kami berempat sudah ibarat satu keluarga mesranya. Bila ada masa terluang, kami suka bertandang di rumah mereka berkongsi cerita dan isu semasa.

Di atas meja, terhidang roti telur dihiasi hirisan bawang dan lada. Cantik dan menyelerakan. Empat biji gelas dipenuhi air Ovaltine bersusu yang masih panas. Biasan cahaya mentari petang yang tidak ketara masih mampu menampakkan sukatan isi padu air yang memenuhi 2/3 jag yg berwarna hijau daun pisang itu. Warna kegemaran kak Nafisah. Warna baju pengantin di hari pernikahan mereka. Pertemuan kali ini semacam dirancang.

"Antunna kena banyak berdoa.." Suara Ustaz Shah memecah suasana.

"Kenapa, ustaz?" Pantas Siti melontarkan soalan.

"Tahun lepas kami datang ramai. Dalam ramai-ramai tu ana seorang sahaja yang lulus dan boleh pulang ke Malaysia. Ustaz-ustaz yang tak lulus tu menangis..." Nada ustaz macam menakut-nakutkan. Tapi memang benar itu yang terjadi.

Saya mula kecut perut. "Siti, macam mana kita ni? Agak-agak boleh lepas tak?"

"Entahlah Ayu. Siti takutlah." sahutnya dengan mimik muka comel yang kebimbangan kononnya.

"Tak apa. Jangan bimbang. Berdoalah banyak-banyak." Nasihat ustaz yang seterusnya menyambung:

"Dulu masa nak periksa ana doa, Ya Allah.. Aku nak kawin.. Bagilah aku najah dalam imtihan..." Ujarnya siap dengan intonasi rayuan hamba.

"Alhamdulillah, berkat doa ana ni, ana najah. Kalau Ayu dan Siti nak najah periksa, doalah macam tu..." Cadangnya antara seloroh dan serius.

Hee.. Berderai ketawa kami dibuatnya. Minta nak kawin shourtcut untuk najah dalam periksa? Sekali fikir logik je, dua kali fikir nak tergelak pun ada.

Cukuplah Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Cukuplah bagiku Allah...