Tuesday, April 22, 2008

Kita Hanya Tetamu Di Dunia...

Hari Ahad kelmarin, saya mengambil keputusan untuk menyertai kawan-kawan ke Mansurah. Sebenarnya saya sendiri mengakui keputusan untuk mem'beli-belah' di waktu ini agak tidak masuk akal kerana kami sekarang sudah terlalu hampir dengan imtihan. Namun saya teruskan jg niat untuk menziarahi bumi Mansurah ini, dan tidak meletakkan aktiviti mem'beli-belah' sebagai matlamat utama. Sebaliknya saya menyimpan hasrat yang lebih penting dan utama dari itu.



Bagi diri saya, aktiviti bersiar-siar dan makan angin itu banyak manfaatnya. Ia salah satu cara mendidik hati dan mengenali hakikat diri. Bahkan saranan terhadapnya terdapat dalam potongan ayat al-Quran. Ternyata ia bukan perkara remeh yg wajar dikesampingkan.

Firman Allah Taala:

137 . Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (Rasul-rasul). [Ali Imran:137]

Secara peribadi, sekali-sekala saya rasa perlu diri ini diberi peluang merasai saat-saat sukar ketika berkelana. Sesungguhnya ia akan mengingatkan diri saya bahawa hidup ini satu pengembaraan, dan diri saya ini tidak lebih daripada seorang tetamu yang hanya singgah sementara di rumah teman2 yg saya andaikan sebagai dunia ini. Segala kemudahan di tempat singgahan saya ini hanya pinjaman. Dan segalanya akan saya tinggalkan bila tiba masa saya kembali ke daerah asal.

Lantaran itu, di kesempatan sesingkat ini saya menggunakan semaksimum peluang belajar dan mengambil pengajaran dari setiap perkara yang saya perhatikan serta berkasih sayang dan menjalin hubungan kemesraan dengan teman-teman. Itulah sumber semangat dan kekuatan yang menjdai hadaf musafir saya kali ini.

Alhamdulillah, semacam sudah tumbuh bibit-bibit keazaman yg jitu untuk terus memperbaiki diri. Saya yakin, saya tidak pernah ditinggalkan sendirian. Mudah-mudahan bantuan Allah sentiasa mengiringi...

Kasih-Mu Tidak Bertepi....



Tadi ketika singgah di rumah teman Qiraat, saya segera meminta izin untuk menunaikan solat Jama' Zohor dan Asar. Setelah selesai mengangkat wudhu', saya terus ke bilik solat yg dipelawanya tadi. Sambil memperbaiki lipatan tudung agar kemas dan selesa, saya menliti ruang bilik sederhana itu. Kemas dan tersusun rapi. Di dindingnya tertampal beberapa poster tazkirah berbahasa Arab. Satu persatu saya teliti. Yang agak kurang faham saya abaikan. Bimbang kerana khusyuk meneliti, saya jadi melengahkan sembahyang. Tetapi poster terakhir yg saya pandang, memaut mata dan hati saya. Saya terpana dengan *Hadis Qudsi yg tertera di situ. Hadis yg diriwayatkan oleh Imam Muslim itu berbunyi:

Nabi saw. bersabda : "Allah Ta'ala berfirman : "Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil".

Tiba-tiba rasa sayu menerpa memenuhi segenap ruang perasaan saya. Betapa saya terlalu mengharap bimbingan-Nya, saya terlalu memerlukan-Nya. Sungguh tiada lagi dalam hidup ini tempat bergantung melainkan Dia. Dia-lah yg selalu mendengar rintihan saya, menghitung sekian banyak titis air mata saya yg gugur, bahkan Dia-lah yang sentiasa memberikan yg terbaik dalam setiap pilihan yg dibuat. Dia Maha Penyayang.

Seringkali saya berasa kesepian dalam perjalanan ini. Ditambah dengan kekeliruan, keresahan yg tidak pernah sudah. Rupanya telah lama saya melupakan bahawa Dia sentiasa ada menemani dan melorong saya ke arah matlamat yg telah saya pasakkan di sanubari. Lantas, saat itu jg saya pasrahkan segala urusan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah satu perjalanan menyucikan hati... Ya Allah, aku ingin sekali bertemu-Mu dengan hati yg sejahtera... Sucikanlah hatiku ini... Ameen...

Friday, April 18, 2008

Al-Quran; Ayat-ayat Cinta Yang Dilupakan...




"Langkah pertama, kita mestilah menjadikan al-Quran kekasih kita. Dan kita mesti menganggapnya sbg seorang kekasih yg sangat cemburu. Bila kita tinggalkan dia sekali dia akan merajuk dan jika kita tinggalkannya banyak kali dia akan pergi meninggalkn kita pula kerana menganggap kita tak sanyangkannya lagi." Demikianlah sedikit sebanyak kalam Ustaz Firdaus yang terpahat di memori saat beliau memulakan pembentangannya di Seminar Menghafal al-Quran yang diadakan di markaz DPMI.

Betul juga kata ustaz tu. Kadang kala, hal yang simple pun kita buleh terlupa. Begitulah lumrahnya insan, kalau tidak pernah lupa bukan insan namanya.

Lantaran itu, untuk mengetahui siapa al-Quran di hati kita persoalan-persoalan ini perlu dihumbankan ke dalam benak fikiran supaya dijawab sejujurnya.

Pernahkah kita berusaha menjadikan al-Quran sebagai kekasih? Yang selalu didampingi, yang selalu ditatapi, yang selalu diingati, yang sentiasa disebut-sebut, diucapkan saban waktu dan ketika? Pernahkah kita merasai kepedihan atau keresahan lantaran kerinduan saat berpisah dengannya? Terkilankah hati saat ia dihina, difitnah dan diperlekehkan? Sama-samalah kita bermuhasabah.

Sungguh ia merupakan ayat-ayat cinta yang dilupakan. Tapi kenapa ya? Salah satu yang saya kira boleh jadi sebab musababnya kerana al-Quran itu berat. Apa buktinya? Ingat tak banyak kali peristiwa penurunan wahyu ke dada Nabi s.a.w yang terpaksa dilalui Baginda dengan dada brgemuruh dan tubuh yang berpeluh-peluh. Hal itu membayangkn betapa berat amanahnya untuk ditanggung oleh jiwa insan yang kerdil. Bayangkanlah amanah yang tidak sanggup dipikul oleh gunung-ganang dan bukit-bukau bahkan lebih merelakan zat mereka hancur berderai daripada memikul amanah yang besar ini.

Lantaran itu, tidak salah andaian bahawa al-Quran itu berat lidah kita membacanya, berat tubuh kita mengamalkannya, berat otak kita mengingatnya. Kerana semua itu bergantung kepada suci murni hati seseorang.

"Ustaz, berapa kali berlaku peristiwa belah dada Nabi s.a.w?" Suatu pagi saya lontarkan soalan itu kepada Ustz Nazrul.

"Ada riwayat yang mengatakan Nabi s.a.w dibelah dadanya 3 kali. Pertama, ketika di bawah asuhan Halimah Sa'diah. Kedua, ketika menerima wahyu pertama di gua Hira' dan ketiga sebelum berlaku peristiwa Isra' Mi'raj." Jawab Ustz Nazrul.

Bila difikir-fikirkan, benar cikgu kata bahawa peristiwa belah dada itu adalah simbolik dan petunjuk untuk umat Islam supaya mereka menyucikan hati. Maka nyatalah hati yang kotor tidak layak di diami oleh Kalam Allah yang suci. Lantaran itu, seluruh anggota menjadi kelu dan kedu terhadap al-Quran kerana sang Raja Hati tak mampu lagi mengajukn titah perintah dek terbuta matanya dari melihat keindahan dan kemilauan Nur al-Quran.

Untuk mengucapkan satu kalimah al-Quran, kita terlalu mengharapkan belas kasihan dan rahmat Allah taala. Allah lah yang mempermudahkan lidah kita membaca ayat-ayatnya, tubuh kita melaksanakan intipatinya, dan otak kita mengingati susunan dan tertibnya. Ternyata itu semua tidak mudah melainkan kepada mereka yang dipermudahkan oleh Allah taala saja.

Lantaran keberatan inilah al-Quran menjadi ayat-ayat cinta yg dilupakan.