Monday, April 30, 2007

Perkembangan ilmu Usul Fiqh...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....
Selawat dan salam dikirimkan buat Rasulullah s.a.w., para sahabat dan ahli keluarga baginda yang telah merintis jalan dakwah Islamiyah. Sesunggunya mereka sangat berjasa kepada kita generasi yang hidup di akhir zaman. Semoga kita semua dapat mengecap manis hidayah yang ditinggalkan oleh mereka.

Saya ingin membuka pengajian Usul Fiqh di dalam blog saya ini. Bagi saya ia bukan semata2 memenuhi ruang yang masih kosong, lebih dari itu saya ingin memenuhi ilmu ini dalam kekosongan jiwa saya. Semoga ia memeberi manfaat pada diri saya khususnya dan semua para pembaca. Sesungguhnya saya merasakan dalam diri betapa kurangnya sumbangan saya untuk Islam. Lantaran itu saya berusaha mewujudkan keinsanan diri saya supaya ia boleh dimanfaatkan oleh Islam hendaknya... Semoga Allah memberkati niat dan usaha saya dan menjadikan saya seorang mujahidah yang istiqomah.

Kitab Usul Fiqh yang bakal diterjemahkan ini merupakan sebuah kitab karangan Dr Surya bt Mahmood Abdul Fatah. Beliau adalah salah seorang pensyarah di Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Universiti al-Azhar Kaherah. Semoga Allah merahmati beliau dan mengganjari usahanya dengan ganjaran yang setimpal.


PENDAHULUAN

Sesungguhnya ilmu Usul Fiqh merupakan ilmu yang menerangkan tentang manhaj (jalan-jalan) yang dilalui oleh para imam mujtahid dalam pengeluaran hukum-hukum syariat daripada nas-nas. Berdasarkan manhaj itu juga mereka mengeluarkan sebab musabab yang terbina di atasnya hukum-hakam, menyentuh maslahat-maslahat yang dikehendaki oleh perundangan yang bijaksana, yang ditunjukkan oleh al-Quran al-Karim, bahkan dijelaskan juga oleh Sunnah kenabian dan petunjuk Muhammad s.a.w..

Berdasarkan kenyataan ini, Ilmu Usul Fiqh adalah himpunan kaedah-kaedah yang menerangkan kepada ulamak Fiqh cara-cara pengeluaran hukum-hakam dari dalil-dalil syara'.

Cara-cara tersebut didapati sama ada dalam bentuk lafzi (yang tersurat) seperti mengetahui dalil syar'ie yang berbentuk lafaz yang mengandungi makna dan pengeluaran hukumnya, dan cara penyelarasan di antara dalil-dalil tersebut ketika berlaku pertentangan zahirnya atau perbezaan sejarahnya.

Ataupun ia didapati secara maknawi (yang tersirat) seperti mengeluarkan sebab musabab daripada nas-nas dan keumumannya, menerangkan cara-cara pengeluaran sebab musabab tersebut yang menepati manhaj untuk mengetahuinya...

Dan demikian juga Ilmu ini menjelaskan dalil syariat dalam setiap pentaklifan yang berbentuk amalan-amalan, yang mana ia telah dilakarkan oleh manhaj tersebut untuk mengetahuinya, dan telah dihadkan sempadan-sempadan bagi ulamak Fiqh yang mujtahid supaya dia menyelusuri jalan yang jelas dalam pengeluaran hukumnya.


PERKEMBANGAN ILMU USUL FIQH

Ilmu Usul Fiqh merupakan antara ilmu-ilmu yang muncul di akhir kurun ke-2 Hijrah iaitu selepas zaman Rasul, sahabat dan para tabi'in. Yang demikian itu kerana pada zaman Rasulullah s.a.w. setiap hukum diambil daripada Baginda dengan apa yang diwahyukan dari al-Quran, dan apa yang diterangkan oleh Nabi s.a.w dengan ucapannya atau perbuatannya atau pengakuannya tanpa berhajat kepada penggunaan usul atau kaedah pada yang demikian itu. Sesunggunya Nabi s.a.w sendiri yang menjawab pertanyaan orang yang bertanya, menghukum di antara orang yang bermusuhan, membentuk hukum jika terdapat keperluan dan tuntutan terhadapnya daripada undang-undang yang diwahyukan kepada Baginda atau dengan ijtihadnya, dan adalah wahyu pada ketika itu turun dengan sebab sama ada menguatkan dan mengakui hukum yang dikeluarkan Nabi atau memperbetulkannya.

Contoh yang berlaku pada peperangan Badar, terdapat sebahagian kuffar yang menjadi tawanan orang-orang Islam. Maka para sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang hukuman terhadap tawanan ini. Maka Abu Bakar berkata: Kaummu dan ahlimu tinggalkanlah sebahagian mereka semoga Allah menerima taubat mereka, dan ambillah daripada mereka fidyah agar dengannya engkau dapat menguatkan sahabat-sahabatmu. Sedangkan Umar r.a berkata: Mereka membohongi engkau, mengusir engkau dari negerimu, maka lawanlah mereka dan bunuhlah mereka, mereka itu umat yang kufur sedang Allah mengayakanmu daripada fidyah.

Maka Rasulullah s.a.w berijtihad dan memilih pandangan Abu Bakar iaitu dengan mengambil bayaran fidyah. Lantaran itu turunlah wahyu mencela keputusan Nabi itu dan menyatakan bahawa yang benar bukan cadangan Abu Bakar. Firman Allah taala: "Tidaklah patut bagi seorang nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [al-Anfal:67].

bersambung...

0 ulasan: