Tuesday, August 5, 2008

Redhakah kita diuji...?


Sesungguhnya ujian adalah salah satu lambang rahmat dan kasih sayang Allah taala terhadap orang-orang yang beriman. Orang yang diuji Allah adalah orang yang dikasihi-Nya. Telah terbukti yang demikian itu dengan apa yang dialami oleh Rasul-rasul Ulul Azmi. Mereka dinobatkan dengan gelaran tersebut lantaran ujian dan mehnah yang sangat dahsyat. Yang ditempuh dengan penuh kesabaran dan keredhaan. Begitu juga apa yg dialami oleh para sahabat dan para pejuang yang telah berkorban jiwa dan raga mereka. Mereka redha dengan ujian Allah sehingga Allah meredhai mereka.

Walau bagaimanapun, ternyata hakikat ini sukar untuk ditelan oleh sekian ramai orang-orang yang beriman. Mereka sering mengeluh dan menghela nafas dengan penuh rasa kecewa saat menerima ujian. Sangat rumit dan payah untuk menghadapinya dengan redha dan berlapang dada. Ujian dianggap seolah-olah satu bebanan yang sangat menyusahkan. Hal yang demikian berlaku mungkin kerana mereka merasa bahawa diri mereka sudah cukup sempurna dan tidak perlu dididik dan ditarbiah lagi. Mereka inilah golongan yang ditempelak oleh Allah taala di dalam firman-Nya:

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا ءامنا وهم لا يفتنون.

ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi?

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Memang benar, ujianlah yang akan mengasingkan di antara yang benar dan dusta. Ujian juga yang menapis kebaikan dan kejahatan daripada bercampur di dalam hati. Sesungguhnya gelas yang bersih tidak layak diisi padanya air yang kotor. Begitu juga hati yang suci tidak sewajarnya didiami sifat yang keji.

Yakinlah bahawa ujian itu rahmat Allah, ujian itu tarbiyah dari-Nya. Semakin besar ujian yang ditimpakan ke atas seorang hamba, semakin tinggi martabatnya di sisi Yang Esa. Mudah-mudahan Allah mengurniakan sifar sabar dan redha kepada kita semua yang menjadi ciri-ciri orang muttaqin. Amin.

Sent from my phone using trutap


Monday, August 4, 2008

ILMU DAN PERANANNYA DALAM PENGISLAHAN MASYARAKAT...


Sesungguhnya benarlah maksud yang ingin disampaikan oleh sepotong ungkapan Arab yang menyebut:

من أراد الدنيا فعليه بالعلم
ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
ومن أراد هما معا فعليه بالعلم...

"Barangsiapa yang inginkan dunia maka hendaklah ia (mencapainya) dengan ilmu,
barangsiapa yang inginkan akhirat maka hendaklah ia (mencapainya) dengan ilmu,
dan barangsiapa inginkan kedua-duanya sekali maka hendaklah ia (mencapainya) dengan ilmu..."

Saya kira apa yang dimaksudkan dengan ungkapan inginkan dunia dan inginkan akhirat bermaksud kejayaan yang ingin dicapai daripada keduanya. Kejayaan inilah yang menjadi hak istimewa segelintir insan yang pernah melalui kehidupan di dunia dan di akhirat. Kejayaan yang mereka raih hasil dari pengaplikasian ilmu yang diperolehi. Ilmu yang berjaya meletakkan diri mereka di posisi Khair Ummah (sebaik-baik ummah) yang di jelaskan di dalam firman Allah taala ini:

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله...

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, yang menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, serta beriman kepada Allah.."

Ternyata untuk menjadi sebaik-baik umat kita harus melaksanakan kewajipan amar ma'ruf nahi mungkar. Namun ia tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan setelah keimanan kepada Allah dipasakkan di sanubari. Bahkan keimanan tidak akan wujud melainkan setelah adanya ilmu. Maka untuk menaiki darjat sebaik-baik umat, ilmu adalah prasyarat yang wajib dipenuhi.

Lantaran peranan dan kepentingan ilmu dalam usaha mengislah kondisi masyarakat ini Allah taala bertitah di dalam al-Quran:

فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلهم يحذرون..

"Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya."

Maka tidak dapat disangkal lagi bahawa menuntu ilmu menjadi kewajipan untuk memenuhi kewajipan membina individu dan masyarakat yang terbaik dan berkualiti.

Lantas di sini dapat juga disimpulkan bahawa rosaknya institusi masyarakat hari ini adalah natijah kegagalan usaha mengislah kondisi mereka. Dan kegagalan ini berlaku hasil lemahnya iman dan penguasaan ilmu di kalangan umat islam.

Sayugia itu saya mengambil kesimpulan ini sebagai pengajaran dan pedoman buat diri. Bahkan lebih dari itu saya mengharapkan ia menjadi muhasabah supaya tanggung jawab yang dipikul ini tidak disia-siakan serta menjadi noktah bidayah untuk mengatur strategi dan perancangan demi agama Islam yang tercinta semampunya.


Sent from my phone using trutap


Sunday, August 3, 2008

Program HEMAT 08



Himpunan Mahasiswi Tahun Akhir (HEMAT '08)
3 Julai 08
7 a.m.-8.30 p.m.
Dewan Solah Kamil,
Hayyu Sadis,
Kaherah, Mesir.

Antara yang menarik:
1. Taklimat Ijazah Lanjutan di Universiti tempatan.
2. Taklimat Ijazah Lanjutan di Mesir.
3. Forum Kerjaya.


Sent from my phone using trutap



Saturday, August 2, 2008

Cerita Kawan...

Suatu hari saya ditanya oleh seorang sahabat: "Ukhti, macam mahu jadi istiqomah?"


Agak lama juga saya memikirkan jawapannya kerana saya mengira diri saya bukan tergolong dari kelompok yang istiqomah. Jadi bagaimana mungkin saya boleh memberikan saranan kepada sahabat saya ini? Blog saya yang suram dan sepi ini sudah cukup membuktikannya.


Walau bagaimanapun, saya tidak mahu membiarkan soalan sahabat saya itu sepi tanpa jawapan kerana ia sangat menyakitkan. Juga saya tidak mahu mengecewakannya.



"Yang pertama, istiqomah itu ialah ketetapan hati yang dicampakkan oleh Allah taala kepada hamba-hamba yang dipilih oleh-Nya. Jadi mohonlah kepada Allah agar dipilih menjadi hambanya yang istiqomah."


"Yang kedua, anda perlu punya seorang teman yang sentisa mendorong ke arah kebaikan."


Ringkas saja. Cuma 2 tips yang saya berikan. Mudah-mudahan ia memberikan sedikit kekuatan untuknya mengatur langkah kehadapan. Dalam hati saya mendoakan.