Wednesday, May 7, 2008

Memblog Jangan Meng'goblog'...

Semalam saya sempat singgah ke cybercafe menjenguk blog saya sendiri. Tertarik dengan sapaan kawan-kawan di shoutbox. Terima kasih saya ucapkan, ia menjadi satu suntikan untuk saya terus memperbaiki diri.

Sebenarnya saya bukan orang yang aktiv di alam maya ini. Cuma saya ada satu tabiat. Tabiat suka menyelami fikiran orang lain. Kalau dulu semasa di Malaysia, ayah jadi teman sembang saya. Bermula isu keluarga, politik, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Dari ayah saya belajar menanam minat berfikir. Tapi setakat itu sahajalah maklumat yang saya ada kerana dulunya saya ni malas membaca.

Bila berjauhan dengan ayah, saya fikir saya perlu mencari alternatif lain untuk mengisi minat saya. Antara blog yang selalu saya lawati di alam cyber ni Blog Roslan sms, Faisal Tehrani (agak lama tidak diupdate), Merah Tinta (MSO), dan kadang-kadang saya melepak di blog Alhusseyn dan Penarik Beca. Kadang-kadang perasan juga idea dan prinsip para bloger di atas ada yang bertentangan, dan itu membolehkan saya membuat penilaian. Jika saya masih keliru saya akan bertanya kepada ayah dan saya juga mempunyai seorang guru sebagai tempat rujukan.

Secara tidak langsung sebenarnya saya belajar 'membaca' daripda mereka. Dan saya tidak mahu tergopoh-gopoh menonjolkan diri sebelum jiwa saya belum benar-benar sebati dengan bidang yang saya minati. Biarlah saya bermula dengan watak remaja yang terpinga-pinga sebegini kerana sesungguhnya memang banyak lagi perkara yang saya tidak tahu.

Buat kawan-kawan, teruskan memblog. Pasti di teratak kalian ada sesuatu yang boleh saya manfaatkan dan ada perkara yang boleh saya pelajari. Saya pasti. Kerana Nabi s.a.w sudah berpesan, orang-orang mukmin itu ibarat binaan yang saling mengukuh dan melengkapkan. Dan hati-hati mereka bila bertemu saling berbagi biarpun tidak pernah diungkapkan dengan kata-kata.

Syukran saya ucapkan kepada yang memberi komen di shoutbox Akhi GB, Yb_pmn, Bee dan yang lain-lain. Semoga Allah merahmati kalian.

0 ulasan: