Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru...


Setiap kali berdoa, guru adalah antara insan yang tidak pernah saya lupakan. Selepas mak dan ayah, merekalah golongan yang paling saya hormati dan kasihi. Tiada imbalan yang mampu saya tawarkan sebagai balasan terhadap jasa dan pengorbanan mereka melainkan secangkir doa yang tak putus saya panjatkan.

Bahkan diri saya yang ada kini meniti di atas doa para guru.

"Alhamdulillah, dah sampai Mesir anak murid cikgu ni." Gembira dan syukur terpancar jelas pada kalam Cikgu Noraini, ketika saya menghubunginya.

"Cikgu, doakan ayu berjaya."

"Ya, cikgu selalu doakan kejayaan ayu. Dan cikgu berdoa semoga Allah pertemukan kita lagi."

Hu hu. Terharu dengan harapan cikgu. InsyaAllah, pulang nanti kita pasti bertemu.

Cikgu Noraini guru
saya semasa di sekolah rendah 12 tahun dahulu. Sejak berpisah, baru sekali kami bertemu itupun secara kebetulan. Tapi kerana saya tak pernah lupakan nombor telefon cikgu semenjak saya menghafalnya dan mendialnya berulang kali, mungkin kerana itu cikgu mengingati saya sampai sekarang.

Seorang guru bukan mengharapkan balasan material daripada muridnya. Cukup sekadar kita mengingati dalam erti kata menghubungi, bertanya khabar sudah bisa membuatkan hati seorang guru riang gembira. Itulah manis akhlak yang dinantikan oleh seorang pendidik.

Begitulah yang saya alami dalam hidup ini. Di sini juga sama halnya. Syeikh cukup gembira bila saya menghubunginya.

"Raihanah, bila nak balik Kaherah? Bila nak datang rumah Syeikh?"

"InsyaAllah bulan 7 nanti, Syeikh"

"Kenapa bulan 7? Kenapa tak bulan 6?"

"Imtihan habis bulan 7."

"Ooo... Tak pe. Bulan 7 nanti datang rumah Syeikh kita buat makan-makan."

Syeikh sangat gembira bukan kerana saya anak muridnya yang bersuara paling lunak ketika membaca al-Quran, hanya kerana saya rajin menelifon Syeikh ketika berada jauh di Iskandariah.

Sebenarnya ramai lagi guru-guru yang gagal saya hubungi kerana kelemahan saya sendiri. Harap-harap itu bukan bereti saya melupakan mereka.

Ada sebilangannya yang telah kembari ke pangkuan Allah. Moga Allah merahmati roh-roh mereka atas pengorbanan yang dicurahkan.

Siapalah diri ini tanpa guru. Aku hanya insan kerdil yang bertatih atas doa dan tunjuk ajarmu. Oh guru...

0 ulasan: