Tuesday, April 22, 2008

Kita Hanya Tetamu Di Dunia...

Hari Ahad kelmarin, saya mengambil keputusan untuk menyertai kawan-kawan ke Mansurah. Sebenarnya saya sendiri mengakui keputusan untuk mem'beli-belah' di waktu ini agak tidak masuk akal kerana kami sekarang sudah terlalu hampir dengan imtihan. Namun saya teruskan jg niat untuk menziarahi bumi Mansurah ini, dan tidak meletakkan aktiviti mem'beli-belah' sebagai matlamat utama. Sebaliknya saya menyimpan hasrat yang lebih penting dan utama dari itu.



Bagi diri saya, aktiviti bersiar-siar dan makan angin itu banyak manfaatnya. Ia salah satu cara mendidik hati dan mengenali hakikat diri. Bahkan saranan terhadapnya terdapat dalam potongan ayat al-Quran. Ternyata ia bukan perkara remeh yg wajar dikesampingkan.

Firman Allah Taala:

137 . Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (Rasul-rasul). [Ali Imran:137]

Secara peribadi, sekali-sekala saya rasa perlu diri ini diberi peluang merasai saat-saat sukar ketika berkelana. Sesungguhnya ia akan mengingatkan diri saya bahawa hidup ini satu pengembaraan, dan diri saya ini tidak lebih daripada seorang tetamu yang hanya singgah sementara di rumah teman2 yg saya andaikan sebagai dunia ini. Segala kemudahan di tempat singgahan saya ini hanya pinjaman. Dan segalanya akan saya tinggalkan bila tiba masa saya kembali ke daerah asal.

Lantaran itu, di kesempatan sesingkat ini saya menggunakan semaksimum peluang belajar dan mengambil pengajaran dari setiap perkara yang saya perhatikan serta berkasih sayang dan menjalin hubungan kemesraan dengan teman-teman. Itulah sumber semangat dan kekuatan yang menjdai hadaf musafir saya kali ini.

Alhamdulillah, semacam sudah tumbuh bibit-bibit keazaman yg jitu untuk terus memperbaiki diri. Saya yakin, saya tidak pernah ditinggalkan sendirian. Mudah-mudahan bantuan Allah sentiasa mengiringi...

0 ulasan: