Wednesday, April 23, 2008

Pertimbangan Yang Adil...

Dalam menjalani kehidupan seharian, manusia tidak dapat lari dari interaksi sesama mereka. Interaksi sering sahaja berlaku di antara sahabat handai mahupun keluarga ataupun kenalan biasa. Perlu diketahui bahawa interaksi yg kita jalani setiap hari dengan sesiapa pun, ia kadangkala menghasilkan natijah yg baik ataupun sebaliknya.

Interaksi yg baik kebiasaannya membuahkan manfaat kepada manusia. Ia dijadikan sebagai wasilah bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan. Selain menambah pengetahuan, ia juga berupaya meleraikan kekeliruan dan kekusutan.

Jauh bandingnya dengan interaksi yg tidak sihat. Selalunya ia menatijahkan keburukan bahkan bisa sahaja melempiaskan kejahatan kepada diri sendiri dan orang lain. Lantaran kebobrokan inilah tercipta sebuah pantun melayu dua kerat yang berbunyi:

"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa."

Ternyata interaksi yang tidak dikawal berpotensi menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan. Oleh sebab itu, sebagai seorang muslim kita harus sentiasa mengawal diri supaya tidak terjebak ke dalam interaksi yang tidak sihat ini. Tapi apa dia ciri-ciri interaksi yang tidak sihat ini?

Ia adalah interaksi yang tidak membuahkan sebarang manfaat kepada kita. Contohnya, sembang kosong yg berlebihan, bercerita tentang peribadi org lain sama ada cerita baik atau buruk, dan yang paling berbahaya menyebarkan fitnah dan berita dusta. Sayugia itulah mendiamkan diri daripada perlakuan sebegini menjadi salah satu lambang keimanan yg bertakhta di hati.

Sabda Nabi s.a.w:

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia membicarakan hal kebaikan atau lebih baik dia diam."

Larangan terhadap interaksi yang tidak sihat ini tertera sejelasnya di dalam Al-Quran yang merupakan pegangan dan panduan seorang muslim.

Firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." {al-Hujurat:12}

Jika diamati ayat di atas, jelas terpampang larangan Allah taala terhadap aktiviti mengumpat dan mencari-cari kesalahan orang lain yg sering terjadi dalam interaksi kita sehari-hari. Larangan ini tidak lain adalah untuk menjaga kerukunan sebuah masyarakat Islam daripada perpecahan.

Kerana interaksi sebeginilah timbul persengketaan dan permusuhan. Seandainya kita terjebajak secara tidak sengaja seumpama mendengar berita yang memburukkan orang yang beriman, maka buatlah pertimbangan yang adil dg menyelidiknya terlebih dahulu sebelum menerima. Jangan telan bulat-bulat. Jika kita tidak mampu berbuat demikian, maka tak usah kita ambil pusing dengan berita yg didengari kerana akhirnya ia akan mengheret kita ke arah penyesalan semata.

Firman Allah taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu akan menyesali perbuatanmu itu." [al-Hujurat:6]

Mudah-mudahan Allah taala sentiasa membuka peluang serta memberi kekuatan dan petunjuk kepada kita semua untuk memperbaiki diri kerana kita hanya seorang hamba yg terlalu menagih belas ihsan-Nya. Wallahu a'lam.

0 ulasan: