Saturday, April 26, 2008

Ya Allah, Aku Nak Kawin...

Imtihan semakin hampir. Saya kini menjadi penghitung. Menghitung hari, menghitung buku-buku yang belum dibaca, menghitung surah-surah yang belum dihafal dan apa-apa sahajalah yang boleh dihitung.

Sem ini imtihan terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama imtihan tahriri (peperiksaan bertulis) dan yang kedua imtihan syafawi atau ujian lisan. Subjek yang akan saya duduki pula ada tujuh iaitu Al-Quran, Hadis Ahkam, Usul Fiqh, Fiqh Syafie, Fiqh Muqoron, Qodoya Fiqhiyyah Mu'asoroh dan Qo'ah Bahas.

Semasa belajar di Malaysia dulu saya boleh meletakkan target bagi setiap kertas peperiksaan dan saya tidak pernah gagal kerana para pensyarah sudah memberikan sukatan peperiksaan lebih awal bahkan ada yang terus memberikan jawapan hanya tinggal dihafal sahaja.

Jauh beza dengan keadaan di sini. Oleh kerana para doktor tidak mengajukan sukatan imtihan, kami terpaksa membaca seluruh isi kitab. Lantaran itu, saya tidak berani meletakkan target kepada usaha saya. Bila ditanya oleh kawan-kawan, saya hanya mampu menjawab: "InsyaAllah, mudah-mudahan berjaya."

Hal ini jugalah yang diberitahu oleh kawan-kawan ketika saya baru sampai di bumi Anbiya' ini. Pada awalnya saya kurang percaya kerana bagi saya kalau tidak ada target macam mana nak bina keyakinan diri?

Kebenarannya saya rasa bila saya mengalaminya sendiri. Ketika menempuh imtihan qobul (ujian yg menentukan kita layak atau tidak utk naik ke tahun empat), saya yakin markah saya sekurang-kurangnya melepasi tahap lulus iaitu 50 markah. Tetapi sangkaan saya meleset. Saya hanya mampu mengumpul 46 markah dan dalam lingkungan 200 orang yang mengambil ujian, hanya seorang sahaja yang lulus. Sungguh bumi ini bumi bertuah, bumi tarbiah!

Berhari-hari saya menenangkan hati menelan hakikat ini dalam kepayahan. Saat redha dan pasrah saya sudah berputik dan mekar di hati tiba-tiba markah lulus diturunkan ke tahap 40 markah! Oh, Allah seolah-olah meng'acah' saya. Tahulah saya bahawa jiwa ini mudah gelabah bila diuji. Saya tidak yakin dengan janji-Nya.

Itulah pengalaman pertama saya menghadapi kegagalan. Mungkinkah sejarah akan berulang? Allah jua yang lebih Tahu.

Berbalik kepada topik asal.

Suatu hari saya dan Siti menziarahi sahabat kami Ukhti Nafisah dan Ustaz Shahrizan. Kami berempat sudah ibarat satu keluarga mesranya. Bila ada masa terluang, kami suka bertandang di rumah mereka berkongsi cerita dan isu semasa.

Di atas meja, terhidang roti telur dihiasi hirisan bawang dan lada. Cantik dan menyelerakan. Empat biji gelas dipenuhi air Ovaltine bersusu yang masih panas. Biasan cahaya mentari petang yang tidak ketara masih mampu menampakkan sukatan isi padu air yang memenuhi 2/3 jag yg berwarna hijau daun pisang itu. Warna kegemaran kak Nafisah. Warna baju pengantin di hari pernikahan mereka. Pertemuan kali ini semacam dirancang.

"Antunna kena banyak berdoa.." Suara Ustaz Shah memecah suasana.

"Kenapa, ustaz?" Pantas Siti melontarkan soalan.

"Tahun lepas kami datang ramai. Dalam ramai-ramai tu ana seorang sahaja yang lulus dan boleh pulang ke Malaysia. Ustaz-ustaz yang tak lulus tu menangis..." Nada ustaz macam menakut-nakutkan. Tapi memang benar itu yang terjadi.

Saya mula kecut perut. "Siti, macam mana kita ni? Agak-agak boleh lepas tak?"

"Entahlah Ayu. Siti takutlah." sahutnya dengan mimik muka comel yang kebimbangan kononnya.

"Tak apa. Jangan bimbang. Berdoalah banyak-banyak." Nasihat ustaz yang seterusnya menyambung:

"Dulu masa nak periksa ana doa, Ya Allah.. Aku nak kawin.. Bagilah aku najah dalam imtihan..." Ujarnya siap dengan intonasi rayuan hamba.

"Alhamdulillah, berkat doa ana ni, ana najah. Kalau Ayu dan Siti nak najah periksa, doalah macam tu..." Cadangnya antara seloroh dan serius.

Hee.. Berderai ketawa kami dibuatnya. Minta nak kawin shourtcut untuk najah dalam periksa? Sekali fikir logik je, dua kali fikir nak tergelak pun ada.

Cukuplah Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Cukuplah bagiku Allah...

2 ulasan:

Cybernetics Mind said...

Assalamualaikum.......Selamat Menghadapi Imtihan. Semoga Kejayaan Itu Milik Anda. ALLAHUAKBAR

Anonymous said...

Terima kasih atas ucapan dan doa anda. Mg Allah merahmati anda juga...